Hi kawan-kawan,
Selamat kembali bertugas setelah berehat selama dua hari pada hujung minggu yang lalu. Pastinya selepas dua hari berehat dirumah bersama-sama keluarga kita akan rasa berat untuk kembali semula bertugas pada hari isnin berikutnya seperti apa yang terjadi seperti saya. Bukannya saya tidak puas berehat dirumah tetapi saya rasakan hujung minggu saya kurang produktif kerana banyak perkara-perkara yang saya rancang ingin lakukan pada hujung minggu itu tidak saya lakukan. Ini adalah kerana pada hari sabtu kami sekeluarga keluar berjalan-jalan di pasaraya One Utama dan Mid Valley dari seawal jam 10.00 pagi dan pulang pada jam 6.00 petang sehingga sekembalinya kami dari berjalan-jalan, kami sekeluarga sangat letih dan hanya mampu duduk berahat sahaja. Pada hari ahadnya pula kami meluangkan masa seharian dirumah sahaja dan walau pun suami saya mengajak untuk keluar berjalan2 di KLIA saya agak keberatan kerana merasakan sudah puas berjalan-jalan pada hari sebelumnya. Tambahan pula ada beberapa perkara yang saya telah rancangkan untuk dilakukan pada hari itu.
Apakah yang saya rancang untuk lakukan:
1. Saya mahu menjahit butang baru pada baju panas saya (cardigan) kerana butang yang lama pada baju itu telah buruk dan warna hitamnya telah mula pudar menjadi putih sehingga saya rasakan baju itu menjadi sangat buruk dan hodoh apabila dipakai.
2. Saya mahu menggunting kain kapas yang saya beli untuk membuat baju melayu untuk Iman kerana saya telah membeli kain itu tiga minggu yang lalu tetapi masih tidak berjaya memulakan usaha untuk menjahitnya.
3. Saya ingin menjahit manik-manik kecil pada tudung hitam seakan-akan tudung Ikin yang saya beli di pasar malam kerana saya rasakan tudung itu terlalu kosong kalau dipakai begitu sahaja dan memandangkan di bahagian hadapannyanya agak besar seperti tudung sekolah maka saya rasakan jika saya ubah suai bahagian depannya dengan membuat belahan dibahagian depan dan menjahit manik di sekeliling bahagian bawahnya serta bahagian bumbung tudung itu kelak bolehlah saya mengayakan tudung itu sepertimana permaisuri Zahirah menggayakan tudung-tudungnya. Caranya adalah dengan menyilangkan belahan kanan hadapan tudung kesebelah kiri dan menyematkannya di bahu manakala belahan kiri hadapan tudung disilangkan ke kanan dan terus ditarik ke kepala dan disematkan kemas di belakang kepala atau boleh juga hanya disematkan di bahu kanan. Dapankah kawan-kawan bayangkan?
4. Saya ingin membuat kek cokelat lembab. Saya telah membawa pulang resepi kek itu pada hari jumaat kelmarin yang telah lama saya ambil dari laman web Dr Ezura dan walau pun ada beberapa bahan yang tidak ada dirumah seperti serbuk Nescafe dan susu cair, saya tetap ingin membuat kek itu.
5. Saya ingin membuat puding roti kerana ade sebuku roti gamdum penuh yang sudah sampai tarikh luputnya hari itu tetapi saya sayang untuk membuang roti itu begitu sahaja walaupun saya sendiri agak sangsi sama ada roti gandum penuh sesuai untuk dibuat puding roti atau tidak memandangkan kebiasaannya roti putih yang selalu digunakan.
6. Saya ingin membaca buku Malaysia kini untuk menambahkan pengetahuan saya mengenai Negaraku Malaysia yang tercinta.
Apakah yang saya akhirnya berjaya lakukan pada hari ahad tersebut:
1. Saya berjaya menjahit butang baru pada baju panas saya dan kini baju itu nampak lebih menarik dan kemas dengan butang yang lebih besar dan lebih hitam berkilat.
2. Saya juga berjaya membuat kek cokelat lembab mengikut resepi itu dan walau pun bahan-bahan untuk membuatnya tidak cukup saya telah mengubah suai sedikit resepi itu. Serbuk Nescafe tidak saya tambahkan kedalam adunan memandangkan serbuk kopi yang ade dirumah hanyalah serbuk kopi 434 dari muar yang berbiji-biji dan tidak larut dalam air manakala susu cair pula saya gantikan dengan susu segar dutch lady sahaja. Hasilnya kek itu tetap sedap walaupun ia tidak lembab seperti namanya tetapi ia tetap naik cantik dan lembut dimakan. Suami saya juga berpuas hati dengan kek cokelat saya kali ini tidak seperti kek cokelat yang sebelumnya yang mempunya rasa tepung. Saya rasa mungkin kerana sebelum ini saya menggunakan cokelat emulco jenama nona sebagai perasa dan pewarna manakala kali ini saya menggunakan serbuk coco jenama van houtan. Untuk pengetahuan kawan-kawan, saya memang suka mengubah-ubah resepi sesuka hati saya apabila memasak. Itu la sebabnya rasa masakan saya selalu tidak konsisten.
Iya kawan-kawan, itu lah sahaja perkara dari senarai diatas yang berjaya saya lakukan manakala yang selebihnya terpaksa ditangguhkan ke hujung minggu yang seterusnya kecuali rancangan untuk membuat puding roti itu tidak berjaya saya laksanakan semalam kerana belum sempat saya ingin membuatnya, suami saya telah terlebih dahulu dengan pantas membuang sebuku roti tamat tempoh itu. Sayang sekali. Hehehehehe.
Nota Kaki: punye la lame aku tak buat essei, rase tercabar gile aku nak buat ayat guna bahasa melayu proper ni. Ape maknenye tu. Nampak sgt bahasa aku sgt rojak kan.hehehe...aku rakyat malaysia.
No comments:
Post a Comment